Bercuti bersama Keluarga

     Pada cuti sekolah yang lalu, saya dan seluruh ahli keluarga sebelah ibu saya telah bercuti di Terengganu. Kami telah mengadakan Hari Keluarga di Tasik Kenyir. Dalam perjalanan ke Terengganu, kami telah singgah di Temerloh, Pahang untuk meminang abang saudaraku bersama tunangannya. Kemudian, setelah semuanya siap, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Terdapat banyak tempat yang kami lawati semasa berada di sana. Antaranya ialah Taman Tamadun Islam iaitu Masjid Kristal, Pantai Batu Buruk dan kami sempat membeli belah di Pasar Payang.

     Setiba sahaja di Terengganu, kami mengisi perut di sebuah kedai yang berhampiran. Kemudian, kami menuju ke rumah bungalow yang akan kami sewa sekeluarga. Setelah lama mencari barulah kami jumpa dengan rumah bungalow tersebut. Sesampai sahaja di rumah itu, kami menurunkan barang-barang dan berehat bersama keluarga sambil berbual mesra bersama sepupu-sepupuku.

     Keesokan harinya, jam 4.00 petang, kami dibawa ke Pantai Batu Buruk untuk menikmati pemandangan indah di pantai. Kami bersantai sambil makan makanan ringan di sana. Beberapa orang saudaraku telah menaiki kereta kuda di pesisiran pantai dan ada juga yang bermain layang-layang. Kami bermain sangat seronok sekali. Setelah penat, kami menikmati juadah di kedai makan di tepi pantai. Seterusnya, kami melanjutkan perjalanan ke Masjid Kristal. Kami terpegun melihat keindahan rekaannya. Kami bergambar sambil berehat di situ.

     Dua hari berlalu. Kami bersiap untuk ke Tasik Kenyir. Selepas solat Zuhor, kami meneruskan perjalanan ke sana. Lebih kurang satu jam lebih kami pun sampai. Kami menyusun barang-barang di dalam bot. Kami pun menaiki bot itu untuk dibawa ke Pulau Sah Besar, di mana tempat yang akan kami duduk selama tiga hari dua malam.

     Tiga puluh minit berlalu dan kami sampai di jeti tempat yang kami tuju. Kami mendaki anak tangga yang tinggi untuk sampai ke tempat rehat kami. Letih seluruh anggota kami mendakinya. Namun, kami kelihatan gembira kerana telah sampai di situ. Sampai sahaja di kediaman rehat, kami mandi-manda untuk membersihkan diri. Kemudian, kami ke dewan makan untuk makan bersama keluarga.

     Keesokannya, pagi lagi kami bangun. Saya bersama saudara yang lain menjalankan aktiviti riadah pagi. Kemudian, setelah selesai semunya, kami ke Air Tejun Saok untuk mandi-manda di sana. Kami di sana sehingga jam 4.00 petang. Seronok kami di situ sehingga tidak sedar hari hampir senja. Dan kami pun pulang semula ke tempat penginapan kami.

     Seterusnya, menjelang pagi esok, kami dikejutkan untuk menjalankan aktiviti keluarga yang telah dirancang. Pelbagai aktiviti menarik yang kami laksanakan bersama dan perasaan sungguh gembira sekali. Antara aktiviti yang dijalankan adalah tarian "poco-poco" dan "chicken dance", rebut gula-gula, lari ikat kaki, bawa bola pingpong dalam sudu, mewarna, treasure hunt dan karaoke.


     Hari berikutnya, setelah selesai semua aktiviti di situ, kami pun bersiap untuk pulang. Kami sangat gembira kerana percutian kali ini sangat menarik. Perasaan kami sedih semasa meninggalkan tempat itu. Sebelum pulang, kami sempat membeli keropok di Kuala Berang.














Share on Google Plus

About Farisya Azman

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment